TEKNIKAL


TEKNIK  MEMAHAMI  SOALAN KARANGAN

CONTOH :  1
Kad kredit pada masa ini bukanlah merupakan sesuatu yang asing bagi kebanyakan pengguna di negara ini. Kad ini kerap digunakan oleh orang ramai dalam urusan jual beli. Walau bagaimanapun , kita tidak dapat menafikan bahawa penggunaan kad ini dengan meluas ada kebaikan dan keburukannya. Jelaskan pernyataan ini.

Kata Kunci / Ayat Topik :   Penggunaan kad kredit untuk urusan jual beli secara meluas – kebaikan dan keburukannya.

Tugasan :  Menjelaskan kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit dalam urusan jual beli.

Kehendak Soalan :  Calon diminta membincangkan kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit secara meluas dalam urusan perbelanjaan / urus niaga.


CONTOH : 2

Perdana Menteri yang keenam, iaitu Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abd Razak telah melaung-laungkan slogan atau konsep 1 Malaysia . Beliau ingin agar slogan tersebut menjadi amalan seluruh rakyat di negara ini. Pada pendapat anda , apakah faedah pengamalan slogan tersebut dan bagaimanakah slogan atau konsep tersebut dapat direalisasikan ? Jelaskan.

Kata Kunci / Ayat Topik : Slogan atau konsep 1 Malaysia , manfaat atau faedah pengamalan konsep 1 Malaysia dan langkah untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Tugasan :  Memberikan penjelasan dan mengemukakan cadangan.

Kehendak Soalan :  Calon diminta untuk memberikan pendapat tentang faedah yang diperoleh jika slogan atau konsep 1 Malaysia diamalkan di negara ini. Hal ini bermakna anda harus memahami maksud slogan atau konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri itu. Anda juga diminta untuk mengemukakan cadangan tentang cara konsep itu dapat diwujudkan . Berikan jawapan dengan kadar 2:3 atau 3:2 .


LATIHAN : 1

Pihak kerajaan kerap memberikan saranan agar industri desa dimajukan . Berikan penjelasan anda tentang manfaat memajukan industri desa.

Kata Kunci / Ayat Topik : Industri desa dan manfaat yang diperoleh daripada usaha memajukan tersebut. Industri desa ialah industri yang menghasilkan produk berasaskan bahan mentah yang terdapat di desa.

Tugasan : Memberikan penjelasan

Kehendak Soalan :  Anda dikehendaki menjelaskan faedah atau manfaat yang akan diperoleh oleh pengusaha dan negara jika indsri desa dimajukan. Keseluruhan isi mestilah berkaitan dengan manfaat daripada kemajuan industri tersebut.

( Rujukan : Halimah Abdul Rahman, STPM Bahasa Malaysia K2, Oxford Fajar Sdn.Bhd , Shah Alam , Selangor )

Karangan Format Laporan

LAPORAN

Tajuk: Kini, kerajaan begitu giat menjalankan usaha mencegah kemasukan buruh asing secara haram ke negara ini. Banyak serbuan dan tangkapan telah dilakukan oleh pihak berkuasa dan ramai pendatang tanpa izin tersebut dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Sebagai seorang penuntut di sebuah pusat pengajian tinggi yang membuat pengkhususan dalam bidang sains sosial, anda diminta mengenal pasti tujuan kerajaan bertindak demikian. Sediakan laporan lengkap tentang hasil tinjauan anda itu.

Kehendak soalan: Anda diminta mengenal pasti tujuan kerajaan mengambil tindakan menangkap dan menghantar pulang pendatang tanpa izin yang datang ke negara ini. Kelima-lima isi harus menyentuh matlamat tindakan tersebut.



Karangan Lengkap

TUJUAN PENGHANTARAN PULANG PENDATANG TANPA IZIN

1.0  
Pendahuluan

Malaysia membangun dengan amat pesat sejak awal tahun 1980-an lagi dan disebabkan kemajuan tersebut, tenaga kerja yang banyak diperlukan. Rakyat Malaysia pula ramai yang tidak berminat dalam bidang pekerjaan tertentu, terutamanya pekerjaan kolar biru. Ini menyebabkan kebanyakan sektor ekonomi negara kekurangan tenaga kerja dan pengambilan buruh asing termasuk pendatang tanpa izin, merupakan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Memandangkan kemasukan tenaga asing secara haram membawa banyak kesan negatif, maka kerajaan telah mengambil langkah tegas menahan dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Untuk mengetahui matlamat kerajaan itu saya telah menemu bual beberapa pihak yang terlibat dalam operasi tersebut. Yang berikut ialah hasil temu bual itu


2.0
Senarai responden


  • 1. Othman Yahaya-wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
  • 2. Maarof Abu-wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
  • 3. Ali Atan-Pegawai Polis Marin
  • 4. Abd Rahman Alias-Pegawai Polis


3.0
Matlamat penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin

Daripada temu bual yang diadakan dengan responden, saya dapat menyimpulkan beberapa matlamat yang tersirat daripada langkah kerajaan itu. Antaranya:

3.1 Memastikan kedatangan mereka tidak menjejaskan peluang pekerjaan penduduk tempatan.

Kita mengakui bahawa kedatangan buruh asing memang menggugat peluang pekerjaan penduduk tempatan. Terdapat dua sebab yang  mewujudkankeadaan tersebut. Pertama, mereka sanggup melakukan apa-apa juga pekerjaan, termasuk pekerjaan dalam bidang pertanian, pembinaan, pembantu rumah, jualan, perkilangan, dan restoran yang tidak digemari oleh rakyat tempatan. Kedua, mereka sanggup menerima upah yang lebih rendah disebabkan nilai mata wang kita jauh lebih tinggi dan di negara asal, mereka tidak mempunyai pekerjaan yang dapat menawarkan pendapatan lumayan. Keadaan mereka ini tentunya membawa persaingan kepada rakyat tempatan dan sekiranya dibiarkan, pendatang tanpa izin akan menguasai pasaran buruh di negara kita.

3.2 Mengelakkan berleluasanya gejala sosial.

Walaupun peluang pekerjaan banyak di negara ini, tetapi tidak semua pendatang mempunyai jaminan untuk memperolehinya. Sekiranya hal ini berlaku, sudah tentu ada pendatang akan menganggur. Pengangguran dalam kalangan mereka boleh membawa kesan negatif kepada negara ini, iaitu masalah jenayah akan meningkat. Di samping itu, kedatangan mereka juga menimbulkan masalah penempatan. Mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyewa rumah di kawasan yang sesuai atau tinggal di rumah sanak saudara atau rakan yang sudah lama tinggal di Malaysia. Kemungkinan besar ramai juga antara mereka yang akan tinggal di kawasan setinggan. Ini tentunya menambahkan masalah setinggan yang sedia wujud.

3.3 Mengurangkan pengaliran wang keluar.

Boleh dikatakan semua pekerja asing yang bekerja di negara ini membawa balik wang yang diperoleh ke negara asal mereka. Setiap bulan, mereka mengirimi keluarga mereka wang hasil pendapatan yang diperoleh. Mereka sanggup berjimat dan berbelanja berdikit-dikit di negara ini asalkan mereka dapat membawa banyak wang apabila pulang ke tanah air mereka. Malah, pernah satu tinjauan dibuat oleh wartawan kita ke satu daerah di negara jiran dan mendapati daerah tersebut telah membangun dengan pesat setelah ramai penduduknya bekerja di Malaysia dan kembali ke tanah air dengan wang yang banyak. Kajian juga pernah dijalankan secara rambang dan didapati setiap pekerja asing secara puratanya menghantar wang sebanyak RM200 setiap bulan ke negara asal mereka. Ini bermakna pengaliran wang berlaku dengan begitu ‘deras’ dan dalam jangka panjang keadaan ini akan merugikan negara.

3.4 Memastikan undang-undang di negara ini dipatuhi.

Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat serta mempunyai undang-undangnya sendiri yang mesti dipatuhi oleh semua orang termasuk rakyat asing. Jika mereka masuk ke negara ini secara haram, bermakna mereka melanggar peraturan dan mencabuli kedaulatan undang-undang kita. Kita tidak mahu hal ini berterusan kerana ini akan menjejaskan nama baik negara kita. Jika kita gagal mengawal kemasukan mereka, semua rakyat asing akan menganggap Malaysia mudah dimasuki. Oleh itu, akhirnya Malaysia akan menjadi destinasi kemasukan rakyat asing.

3.5 Mengelakkan pihak tertentu mengeksploitasi pendatang asing.

Kita sering menyaksikan wujudnya pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap pendatang tanpa izin. Ada majikan tergamak mendera mereka dengan teruk sehingga menyebabkan kecederaan parah. Ada pula yang mengeksploitasi mereka dengan memberikan pekerjaan kepada mereka, tetapi apabila tiba hari diberi gaji, mereka diperangkap dan diserahkan kepada pihak berkuasa. Mereka dihantar ke pusat tahanan tanpa menerima gaji walau sesen pun. Ini merupakan suatu kekejaman yang mesti dihindari. Selain itu, terdapat juga agensi haram yang membawa mereka masuk dengan bayaran yang tinggi dan dijanjikan peluang pekerjaan yang baik. Malangnya, kebajikan dan keselamatan mereka tidak diberi jaminan.


4.0
Penutup

Kehadiran buruh asing di negara ini memang membawa manfaat kerana mereka dapat membantu mempercepat pertumbuhan ekonomi negara. Tanpa mereka, kita memang kekurangan tenaga buruh dan jika kita hanya berharap kepada tenaga buruh tempatan, pengusaha tidak akan dapat menjimatkan kos. Walau bagaimanapun, kedatangan mereka secara haram dan dengan jumlah yang ramai boleh menggugat kedudukan negara. Oleh itu, langkah tegas yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini wajar diteruskan agar kesan negatif daripadanya dapat dielakkan. Dalam hal ini, bukan kita tidak bersimpati terhadap masalah mereka, sebaliknya kita masih mengamalkan sikap bertimbang rasa.

Laporan disediakan oleh

……………………….....
(MOHD HAIZAL HAMID) 

( Rujukan : Cikgu Nursidah Bt Ab Hamid , Guru Cemerlang Bahasa Melayu , http://www.karanganstpm.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=94&Itemid=89)


Karangan Berformat Ucapan

UCAPAN 

Tajuk: Anda merupakan seorang pegawai tinggi di Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkans semula perkembangan sektor pertanian di negara ini, anda telah diminta untuk memberikan ceramah kepada ahli sebuah persatuan belia yang kebanyakannya terdiri daripada siswazah menganggur. Tajuk ceramah anda adalah tentang usaha-usaha yang perlu dijalankan untuk memajukan lagi sektor pertanian di negara ini. Sediakan teks ceramah tersebut.

Kehendak soalan : Soalan karangan ini berformat ceramah. Kehendak soalan jelas, iaitu anda diminta mencadangkan langkah-langkah yang perlu dijalankan untuk memajukan sektor pertanian di negara ini. Pendekatan hendaklah bersifat cadangan, bukan menyatakan sesuatu yang sedia ada.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan

Selama ini, negara kita terlalu mementingkan perkembangan sektor industri hingga menyebabkan sektor pertanian agak terabai. Pada hakikatnya, kita mempunyai keupayaan untuk memajukan sektor pertanian. Kita juga harus sedar bahawa sektor pertanian penting untuk pembangunan negara.
Isi-isi penting
  1. Meningkatkan bidang kajian bioteknologi.
  2. Memanfaatkan mesin dan jentera dalam kerja-kerja pertanian.
  3. Menebus guna tanah-tanah terbiar.
  4. Meningkatkan kemajuan kegiatan hiliran dalam sektor pertanian.
  5. Mempercekap pemasaran hasil pertanian.
Penutup
Usaha mempergiat perkembangan sektor pertanian harus mendapat sambutan dan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya sektor swasta. Tanggapan negatif terhadap sektor tersebut mesti diubah.

Karangan Lengkap

Saudara Pengerusi Majlis, Presiden Persatuan Belia Senayan, Ahli-ahli Jawatankuasa, dan hadirin sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan ahli-ahli persatuan kepada saya untuk memberikan ceramah berkaitan usaha yang perlu kita ambil untuk memajukan sektor pertanian di negara ini. Kita maklum bahawa pada masa ini kerajaan memang memberikan tumpuan yang lebih terhadap usaha untuk mengetengahkan imej kita sebagai sebuah negara pertanian yang maju dan dikenali di peringkat antarabangsa. Kalau sebelum ini kita giat berusaha dalam sektor industri dan meminggirkan sektor pertanian, maka kini keadaan berubah. Ini disebabkan kerajaan sendiri sedar bahawa kita mempunyai kelebihan dalam sektor ini dan sektor pertanian juga ada sumbangannya terhadap perkembangan ekonomi negara.

Saudara dan saudari sekalian,

Sektor pertanian amat erat kaitannya dengan bioteknologi kerana hasil kajian dan penyelidikan dalam bidang ini dapat membantu kita memajukan sektor pertanian. Sebagai contoh, teknologi pembiakbakaan membantu pakar bidang pertanian menemukan baka tanaman atau ternakan yang bermutu. Tanpa kajian dan penyelidikan dalam bidang ini, kita akan terikat kepada baka lama yang tidak lagi kompetitif dari segi hasil. Ternakan kacukan, seperti kacukan antara kambing tempatan dengan biri-biri dan kajian kesesuaian ternakan rusa dan burung unta contohnya membawa dimensi baharu kepada sektor pertanian di negara kita. Oleh itu, pengetahuan kita dalam bidang bioteknologi perlu ditingkatkan. Anda yang mempunyai kelulusan dalam bidang yang berkaitan sebenarnya dapat membantu.

Di negara kita, walaupun jentera telah digunakan dalam kerja-kerja pertanian, tetapi belum lagi meluas dan menyeluruh kerana sesetengah ladang, tenaga buruh masih banyak digunakan. Hal ini juga perlu diberikan perhatian. Untuk mengurangkan kos buruh dan memastikan pengusahaan ladang lebih ekonomik, penggunaan mesin amat penting. Mesin dapat mempercepat kerja disamping dapat menjamin pengekalan mutu. Mesin hendaklah digunakan pada semua peringkat pengusahaan, iaitu daripada peringkat pembajakan tanah sehinggalah kepada pemprosesan hasil. Masalah yang berpunca daripada kelemahan dan kecuaian manusia dapat dielakkan dengan penggunaan mesin dan dengan ini hasil daripada sektor pertanian kita akan bertambah baik.

Saudara dan saudari yang saya kasihi,

Sebagaimana yang kita ketahui, di negara ini masih banyak lagi kawasan tanah terbiar. Pada hemat saya, jika tanah ini terus dibiarkan, maka ini merupakan satu pembaziran. Oleh hal yang demikian, langkah drastik perlulah diambil agar kawasan tanah tersebut dapat memberikan manfaat. Hadirin yang masih belum mempunyai pekerjaan, jika berminat untuk mengusahakannya bolehlah menemui kami di Jabatan Pertanian agar kita dapat mengadakan perbincangan tentang cara menebus guna tanah tersebut. Kami yakin bahawa sebahagian besar daripada kawasan itu masih boleh digunakan untuk tanaman tertentu yang bersesuaian dengan keadaan tanah. Sesetengah kawasan tersebut juga sesuai untuk ternakan haiwan, seperti lembu dan kambing, di samping untuk ternakan ikan air tawar.

Satu lagi usaha yang tidak kurang pentingnya ialah meningkatkan lagi usaha memajukan kegiatan hiliran sektor pertanian. Yang saya maksudkan dengan kegiatan hiliran dalam konteks ini ialah usaha mengeluarkan produk akhir daripada sesuatu keluaran pertanian. Sebagai contoh, getah dapat menghasilkan pelbagai jenis produk yang mempunyai pasaran, bukan sahaj daripada susunya, malah daripada batang dan daunnya. Keluaran pertanian lain, seperti kelapa, nanas, koko, kekacang, dan lain-lain harus dikaji dan diselidiki agar hasil hiliran yang pelbagai dapat ditemukan. Jika hal ini dapat dilakukan, bererti kita bukan sahaja dapat menjual keluaran tersebut sebagai bahan mentah, tetapi juga sebagai hasil industri berasaskan pertanian.

Saudara dan saudari sekalian,

Dalam apa-apa juga perniagaan , aspek pemasaran merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Dalam hal ini, kita mestilah mencuba sedaya upaya untuk mempercekap pemasaran hasil-hasil pertanian bukan sahaja sebagai bahan mentah tetapi juga sebagai hasil industri. Pasaran yang lebih luas mestilah diterokai dan pasaran janganlah terhad kepada pasaran tempatan, tetapi harus meliputi pasaran antarabangsa. Kita harus mencontohi negara yang sedia maju dalam sektor pertanian, seperti Australia, New Zealand, dan China. Negara-negara tersebut telah menguasai pasaran dunia dalam produk pertanian tertentu, seperti susu dan buah-buahan awet kering. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hendaklah kita manfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ini.

Saudara dan saudari,

Kalau selama ini kita memandang negatif terhadap sektor pertanian kerana hasilnya yang kurang lumayan dan kerja pengusahaannya yang lebih bersifat pekerjaan kolar biru, kini sikap tersebut mesti diubah. Kita mestilah yakin akan keupayaan sektor ini dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara dan memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi kemajuan sektor ini. Saya yakin, pihak swasta juga akan tampil ke hadapan untuk memberikan sokongan.

Sebagai akhir kata, saya berharap agar ceramah saya ini memberikan semangat kepada anda untuk menceburi bidang ini dan yakin bahawa usaha yang bersungguh-sungguh akan membuahkan kejayaan. Sekian, sekali lagi saya ucapkan terima kasih.

( Rujukan : Cikgu Nursidah Bt Ab Hamid , Guru Cemerlang Bahasa Melayu , http://www.karanganstpm.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=94&Itemid=89)
MEMORANDUM

Tajuk: Anda merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mewah, sebuah taman perumahan yang terletak dalam sebuah kawasan bandar besar yang sibuk. AJK Persatuan Penduduk kawasan anda mendapati beberapa buah pusat hiburan telah beroperasi sehingga jam 4.00 pagi walaupun kerajaan negeri telah menetapkan bahawa pusat-pusat hiburan hanya boleh beroperasi sehingga jam 1.00 malam. AJK Persatuan meminta anda menyediakan suatu memorandum untuk dihantar kepada pihak berkuasa, menyatakan bantahan terhadap keadaan tersebut. Sediakan memorandum tersebut.

Kehendak soalan: Soalan meminta anda menyediakan satu memorandum untuk menyatakan bantahan terhadap beberapa buah pusat hiburan di kawasan bandar tempat tinggal anda yang beroperasi melewati masa yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Penerima dan penghantar memorandum itu mestilah ditulis dengan jelas. Dalam memorandum itu juga mestilah dijelaskan masalah yang timbul daripada tindakan pusat hiburan tersebut kepada orang ramai dan penduduk setempat. 

Pendahuluan
Beberapa buah pusat hiburan di Taman Mewah memang menjalankan operasi sehingga lewat malam. Keadaan ini amat mengganggu penduduk setempat. Langkah yang sewajarnya perlu diambil agar gangguan yang dialami oleh penduduk dapat dikurangkan.
Isi-isi penting
Tindakan perlu diambil kerana kegiatan mereka itu:
  • Menyebabkan kebisingan dan mengganggu ketenteraman penduduk.
  • Menyebabkan kesesakan, terutamanya dari segi tempat meletak kereta.
  • Menggalakkan kegiatan jenayah dan maksiat.
  • Membawa imej buruk kepada negara.
  • Pemantauan dan tindakan tegas harus diambil oleh pihak berkuasa.
Penutup
Undang-undang yang telah digubal perlu dikuatkuasakan dengan tegas. Penduduk setempat akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya.

Karangan lengkap

Kepada : Yang Dipertua Majlis Perbandaran Mulia Jaya
Daripada : Persatuan Penduduk Taman Mewah, Bandar Mulia Jaya
Tajuk : Bantahan Terhadap Tindakan Pengusaha Pusat-pusat Hiburan yang Beroperasi sehingga Lewat Malam di Taman Mewah 

1. Pendahuluan
Bandar Mulia Jaya merupakan sebuah bandar yang amat pesat membangun. Bandar ini bukan sahaja menjadi pusat perniagaan dan pendidikan, terutamanya institusi pendidikan swasta, tetapi juga menjadi pusat pelbagai jenis perkhidmatan yang salah satu daripadanya ialah perkhidmatan hiburan. Kemajuan ini memang banyak kebaikannya kepada kami, penduduk Taman Mewah. Walau bagaimanapun, wujud suatu gejala yang amat membimbangkan kami, iaitu kegiatan pengusaha pusat-pusat hiburan, seperti pusat snuker, pub, dan kafe yang beroperasi sehingga lewat malam di premis masing-masing. Mereka ketara tidak mematuhi arahan kerajaan negeri agar menghentikan operasi selewat-lewatnya pada pukul 1.00 pagi. 

2. Penyataan bantahan
2.1 Langkah pengusaha pusat-pusat hiburan tersebut telah menimbulkan kebisingan yang teruk kepada kami. Pusat-pusat tersebut dikunjungi oleh pelanggan yang ramai yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan umur mereka adalah lingkungan 18-30 tahun. Kebisingan bukan sahaja disebabkan oleh bunyi muzik yang kuat di pub dan kafe, tetapi juga bunyi hilai ketawa pengunjung yang sesetengahnya mabuk. Mereka bergurau senda dan kadang-kadang bertempik apabila ada sesuatu yang menggembirakan mereka tanpa mempedulikan ketenteraman orang lain. Kami boleh bertolak ansur sekiranya kejadian seperti itu berlaku sebelum jam 12.00 malam, tetapi apabila kebisingan tidak dapat dikawal sehingga jam 4.00 pagi, kami berasa amat terganggu.

2.2 Masalah kesesakan juga mengganggu kami. Kami tidak mengetahui dari mana datangnya para pengunjung, tetapi yang nyata jumlah mereka ramai. Mereka mula mengunjungi pusat-pusat tersebut seawal jam 8.00 malam dan kehadiran mereka menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di pusat bandar. Mereka juga meletakkan kenderaan mereka di kawasan perumahan sehingga kadang-kadang mengganggu kami untuk keluar masuk ke kawasan kediaman kami. Sesetengah penduduk yang memiliki kenderaan lebih daripada dua buah, begitu bermasalah untuk mendapatkan parkir selepas jam 10.00 malam. Pengunjung nampaknya langsung tidak mempedulikan keselesaan penduduk setempat. Apabila ditegur, mereka memberikan reaksi yang tidak menyenangkan. 

2.3 Untuk makluman pihak tuan, langkah pengusaha pusat hiburan melanjutkan tempoh operasi sedemikian panjang juga boleh mengundang masalah jenayah dan maksiat. Tidak mustahil jika pusat tersebut menjadi sarang penjenayah untuk berkumpul dan berhibur. Mereka mungkin melakukan kegiatan mengedar dadah, memeras ugut, dan menyamun di pusat sedemikian. Selain itu, gejala maksiat juga mungkin berlaku, khususnya minum minuman keras, mengambil pil khayal, dan melakukan aktiviti pelacuran. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di tempat seperti itu memang membuka ruang yang luas kepada berlakunya gejala yang dinyatakan itu. Hal ini juga boleh membawa impak yang buruk kepada penduduk setempat. 

2.4 Seterusnya, jika kegiatan mereka itu tidak dibendung, maka ini boleh mendatangkan imej buruk kepada pihak berkuasa. Kegagalan menangani masalah ini memberikan gambaran bahawa pihak berkuasa tidak tegas dalam melaksanakan undang-undang yang ditetapkan. Jika gejala seperti ini gagal ditangani, ada kemungkinan masalah lain yang lebih serius juga gagal dibanteras. Itulah antara kemungkinan tanggapan orang ramai terhadap pihak berkuasa tempatan. Selain itu, imej buruk itu juga boleh menakutkan orang luar untuk datang ke bandar ini, malah sekarang pun, sudah terdapat pihak tertentu yang telah melabelkan kawasan kediaman kami sebagai kawasan yang tidak selamat untuk dikunjungi. 

3. Cadangan tindakan
Memandangkan tindakan pengusaha seperti yang dinyatakan di atas membawa kesan negatif kepada kami, maka kami memberikan cadangan agar tindakan tindakan tegas dikenakan ke atas mereka. Pihak berkuasa hendaklah memantau pusat-pusat tersebut, tersebut, terutamanya selepas jam 12.00 malam dan serbuan mengejut hendaklah dibuat agar segala perbuatan yang membahayakan dapat dikesan dan diatasi dengan segera. Kita tidak mahu golongan remaja kita terutamanya, terjebak dalam gejala negatif yang bukan sahaja merugikan diri mereka malah juga negara. Kita juga tidak mahu pihak pengusaha pusat hiburan tersebut mengaut keuntungan dengan mengetepikan undang-undang dan menafikan hak orang lain untuk beristirahat dengan tenteram di rumah mereka sendiri. 

4. Penutup
Kami amat berharap agar pihak tuan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap bantahan kami ini. Kami tidak menghantar memorandum ini hanya semata-mata untuk memburuk-burukkan tindakan pengusaha pusat hiburan, tetapi yang lebih penting adalah untuk mengekalkan imej baik pihak berkuasa tempatan di daerah ini dan juga nama baik taman perumahan kami. Kami berharap agar pihak tuan melakukan pemeriksaan yang sewajarnya untuk memastikan bahawa bantahan kami berasas. Kami penduduk Taman Mewah akan memberikan apa-apa juga bentuk kerjasama yang diperlukan. Yang penting bagi kami, walaupun kemajuan berkembang pesat di bandar ini, tetapi nilai hidup timur yang sekian lama diamalkan dapat terus dikekalkan.
……………………………….
(AZLI AMAN)
Pengerusi Persatuan Penduduk
Taman Mewah, Bandar Mulia Jaya Tarikh: 24 April 2010

( Rujukan : Cikgu Nursidah Bt Ab Hamid , Guru Cemerlang Bahasa Melayu , http://www.karanganstpm.com/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=94&Itemid=89)