RAMALAN

RAMALAN  BM 2 STPM 2011 OLEH  CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN, @ PHILIP SELI,SMK SACRED HEART SIBU SARAWAK

01

Bahasa Rojak

Punca
Kesan
Langkah

02

Laman Web Sosial

Kesan
Langkah

03
Kemalangan maut

Punca
Langkah

04

Keracunan Makanan

Punca
Kesan
Langkah

05

Kes kehilangan kanak-kanak

Punca
Langkah

06

Kes buli di sekolah

Punca
Kesan
Langkah

07

Tuisyen

Kebaikan
Keburukan

08

Jenayah ragut

Punca
Kesan
Langkah

09

Orang gaji

Punca
Langkah

10

Pendidikan Seks

Kebaikan
Keburukan
Rasional

11

1 Malaysia

Kepentingan
Usaha

12

Orang Kurang Upaya (OKU)

Usaha

13

Samseng Jalanan / Lumba Haram

Punca
Kesan
Langkah

14

Industri Filem

Kesan
Langkah

15

Jenayah kejam

Punca
Langkah

16

Kes Along

Punca
Kesan
Langkah

17

Pembangunan Modal Insan

Usaha

18

Pembuangan sampah

Kesan
Usaha

19

Banjir

Punca
Kesan
Langkah

20

Media massa

Kesan
Langkah



Analisis Soalan/Isu Karangan Percubaan STPM Negeri-negeri 2011

Negeri
Isu
Fokus Soalan
Kedah
1. Gejala penagihan semula dadah membimbangkan semua pihak.
Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?.
2. Fenomena pemerdagangan manusia menimbulkan pelbagai masalah.
Jelaskan faktor-faktor dan bincangkan implikasinya kepada masyarakat dan negara.
3. Vandalisme selalunya dikaitkan dengan keruntuan institusi kekeluargaan.
Sejauh manakah anda setuju dengan penyataan ini dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya.
4. Lambakan produk tiruan di pasaran menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Sediakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan pengguna untuk menyatakan kekesalan dan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Pahang
1. Kewujudan laman sosial seperti “facebook”, “twitter”, “blog”.
Bincangkan impak laman sosial ini kepada masyarakat dan negara.
2. Malaysia dikatakan mempunyai kekuatan untuk menjadi pusat pendidikan serantau.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut.
3. Pengambilan vitamin dan bahan minuman bertonik.
Jelaskan kebaikan pengambilan vitamin dan bahan minuman bertonik tersebut.
4. Stesen televisyen dan pengusaha pawagam cenderung menyiarkan drama dan filem yang berunsur mistik
Tulis memorandum untuk menyatakan kekesalan tentang kesan negatif yang timbul daripada rancangan tersebut dan kemukakan usul untuk menangani kesan negatif itu.
Terengganu
1. Masalah pengangguran dalam kalangan belia.
Jelaskan kesannya kepada masyarakat dan cadangan untuk menanganinya.
2. Kebanyakan pasar tani menjadi tumpuan.
Huraikan faktor-faktor yang mendorong orang ramai mengunjungi pasar tani dan jelaskan kemudahan yang perlu disediakan di pasar tani.
3. Kepentingan hubungan yang erat dalam kalangan ahli keluarga.
Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengeratkan dan mengekalkan hubungan kekeluargaan?
4. Kajian tetang kesan pertubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
Sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini.
Selangor
1. Penyediaan dan penjualan makanan di kantin sekolah yang tidak sempurna dan tidak sihat meninggalkan pelbagai kesan negatif kepada murid-murid.
Sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, sediakan memorandum untuk menyatakan permasalahan yang timbul dan kemukakan juga usul untuk menangani masalah ini.
2. Kemudahan yang disediakan dalam bidang sukan dapat meningkatkan prestasi atlet dan mutu sukan negara.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?
3. Peranan pertubuhan belia dalam
merealisasikan wawasan untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Sediakan teks syarahan anda.
4. Penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Jelaskan implikasi pengguna
an laman sosial ini  terhadap masyarakat.
Negeri Sembilan
1. Pencapaian negara dalam beberapa jenis sukan di peringkat antarabangsa belum mencapai tahap yang diharapkan.
Cadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan mutu sukan negara.
2. Penggunaan laman web sosial semakin meluas.
Bincangkan kesannya terhadap golongan remaja.
3. Kewujudan restoran makanan segera banyak mehmpengaruhi corak hidup masyarakat.
Tulis laporan sebagai setiausaha Persatuan Pengguna.
4. Menggiatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan penyertaan pelabur asing.
Bincangkan usaha-usaha untuk menarik pelabur asing.
Sabah
1. Program 1Murid 1Sukan banyak mendatangkan manfaat kepada murid.
Huraikan manfaattersebut.
2. Filem tempatan banyak yang bertemakan unsur mistik.
Bincangkan kesan pemaparan tema tersebut kepada penonton.
3. Internet dikatakan dapat memainkan peranan penting untuk mencorakkan kehidupan masyarakat di sesebuah negara.
Berikan pandangan anda tentang keepentingan internet kepada masyarakat dan negara.
4. IPTS dapat membantu negara meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan rakyatnya.
Pada pendapat anda, apakah aspek yang perlu diberikan oleh kerajaan terhadap pengendalian institusi tersebut. Bincangkan.
Perak
1. Pemerdagangan Orang ialah suatu jenayah kemanusiaan yang  dipandang serius pada masa ini.
Huraikan  usaha dan cabaran  untuk menanganinya.
2. Perniagaan pinjaman wang secara haram
Huraikan punca berlakunya fenomena ini dan bentuk pengawalan yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanterasnya.
3. Terdapat  pelbagai laman sosial di internet yang dilayari oleh  masyarakat, khususnya     golongan  remaja.
Bincangkan kesan aktiviti tersebut.
4. Kenaikan harga barangan dan kos perkhidmatan  semakin membimbangkan masyarakat.
Sediakan memorandum untuk menyatakan kekesalan dan langkah-langkah untuk menangani permasalahan ini.

Berdasarkan isu atau topik yang disenaraikan di atas, topik yang paling popular ialah isu laman sosial.
Hal ini demikian kerana, 3 buah negeri iaitu Pahang, Selangor, dan Perak telah memilih soalan tersebut.
Di samping itu, isu-isu lain juga perlu diberikan tumpuan,  seperti isu pemerdangan orang, filem atau drama berunsurkan mistik, kenaikan harga barang, lambakan barang tiruan, peranan internet, pelaburan asing, keracunan makanan, pengambilan pil vitamin, dan institusi pengajian tinggi atau pusat pendidikan serantau.
Namun demikian, isu-isu yang yang dianggap tidak hangat juga perlu diberikan perhatian kerana isu-isu itu merupakan isu yang berpanjangan atau berterusan.



FAKTA  FACEBOOK :


Menurut  laman  web  digitalbuzzblog.com , terdapat kira-kira :

  • 500 Juta  pengguna facebook di seluruh  dunia ketika  ini.
  • 250 Juta  pengguna  mendaftar  masuk  facebook  setiap  hari dengan jumlah purata  rakan  berdaftar  dalam  setiap  facebook seramai  130  orang.
  • 48 %  pengguna  facebook  yang  berumur  antara  18 dan 34 tahun  mendaftar masuk  ke laman  sosial  ini .

 Sumber : Utusan Malaysia : Sabtu / 12 Nov 2011.

Karangan STPM (Isu Laman Sosial)


Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini terhadap masyarakat.
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
Penggunaan laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.

Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan.
Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat.
Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.

Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti “Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.

Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
           


Karangan STPM – Isu Pembuangan Bayi


Soalan Karangan : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita.

Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.

Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.

Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.

Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih baik daripada mengubati”.

Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, “Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.

Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
           
           
           


Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Pada tahun 2002, Program Latihan Khidmat Negara ditubuhkan dan ia juga merupakan kursus latihan yang wajib dilatih selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN di seluruh Malaysia. Pelatih yang dipilih merupakan pelajar yang baru menamatkan pedidikan sekolah menengah mereka. Pelajar yang terlibat kebanyakkan berumur 17 tahun dan 17 tahun ke atas.
Latihan ini bertujuan untuk membinakan sahsiah diri yang bermatlamatkan pembinaan dan pengukuhkan semangat patriotisme?di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan yang positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana ia dilaksanakan menurut cara Malaysia. Program ini dilaksanakan dengan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai-nilai patriotik kepada generasi muda ke arah cinta , kasih dan sayang akan negara. Program ini berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan daripada beberapa buah negara lain kerana menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi.
Program dilaksanakan untuk mendatangkan pelbagai jenis manfaat kepada remaja. Remaja dapat menyemaikan nilai-nilai patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja pada zaman ini. Perubahan masa dan cara hidup pada masa kini menjadikan mereka leka sehingga tidak mengetahui erti kesusahan dan penderitaan hidup generasi sebelum merdeka.
Latihan PLKN ini juga bertindak sebagai satu mekanisme bagi pembentukan disiplin diri para remaja. Disiplin diri merupakan teras kepentingan bagi sesuatu kejayaan. Masa lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diisi dengan kegiatan yang berfaedah dan berdisiplinkan diri dengan jadual yang ditentukan. Program ini juga dapat mematangkan fikiran mereka setelah menjalani latihan dan pengujian ketahanan mental
dan fizikal.
Program ini melibatkan remaja yang pelbagai kaum untuk memperkukuhkan integrasi nasional. Melalui program ini, remaja daripada berbilang kaum, kebudayaan dan agama dapat dihimpunkan dalam satu wadah bagi menyuburkan semangat perpaduan kaum. Hal ini kerana semasa menjalani aktiviti program mereka tinggal bersama-sama. Jurulatih PLKN juga membantu pelatih memahami cara Negara yang merangkumi tanah air, rakyat dan kadaulatan ini ditadbir melalui sistem pentadbiran
Program yang dilaksanakan dalam PLKN meliputi modul-modul tertentu, iaitu latihan fizikal, kursus bina semangat, kursus bina perwatakan dan khidmat masyarakat. Latihan fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api atau latihan ketenteraan. Para pelajar akan belajar berkawat, tempur tanpa senjata, pertolongan cemas, merentas halangan dan kegiatan sukan. Melalui asas ketenteraan ini, para remaja didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan ikhtiar hidup.
Secara tuntas, Program Latihan Khidmat Negara yang dijalankan memang?mendatangkan kebaikan kepada remaja mahupun negara.. Justeru, semua pihak?khususya para remaja dan ibu bapa perlu menyahut seruan kerajaan dengan menyertai program ini.
           


Kepentingan Program Latihan Khidmat Negara


Soalan : Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan untuk melatih golongan remaja menjadi warga negara yang berguna. Anda ingin menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program ini dengan menyatakan pandangan anda untuk disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan. Tulis karangan anda selengkapnya.

Jawapan contoh

Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan dan dilaksanakan bebepada tahun yang lalu. Pelaksanaan program ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Kerajaan telah berusaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa program ini mempunyai banyak kebaikan, khususnya kepada golongan remaja dan umumnya kepada negara. Namun begitu, sehingga kini banyak pihak belum mendapat penjelasan yang sebenar akan kebaikan-kebaikan yang terhasil daripada pelaksanaan program tersebut. Sesungguh, jika dihalusi secara mendalam Program Latihan Khidmat Negara menjanjikan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia.

Program Latihan Khidmat Negara bakal melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air. Selama ini warga negara ini, khususnya golongan remaja tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Pada anggapan mereka negara ini ditadbir oleh kerajaan tanpa melibatkan rakyat jelata. Selain itu golongan muda hari sudah pudar semangat cinta akan air kerana kemewahan hidup, keamanan, dan kemudahan yang cukup, telah melalaikan mereka. Oleh itu semangat cinta akan tanah air perlu diterapkan dengan kaedah yang lebih berkesan supaya jiwa golongan remaja kembali diisi dengan semangat patriotisme yang tinggi, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, program ini merupakan satu kaedah yang sesuai untuk melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air.
Selain itu Program Latihan Khidmat Negara juga akan menerapkan semangat kepimpinan dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Semangat kepimpinan sangat penting kerana pemimpin yang baik bakal mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Kepemimpinan yang baik juga dapat menjamin hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju, di samping mengekalkan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda perlu didedahkan dengan konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan kemerdekaan sesebuah negara. Golongan muda ialah generasi yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu hari nanti. Justeru, mereka perlu memiliki semangat kepimpinan bagi memenuhi keperluan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Satu lagi kebaikan program ini ialah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan remaja pelbagai kaum. Seperti yang diketahui umum, perpaduan merupakan satu aset penting ke arah kemajuan negara. Perpaduan bakal menentukan iklim politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya berada pada tahap yang selesa. Tanpa perpaduan, negara ini akan kucar-kacir dan bakal mencetuskan kekacauan. Pihak luar sudah pasti mengambil peluang daripada ketidakstabilan negara kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Isu perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara ini. Remaja pelbagai kaum perlu disedarkan peranan masing-masing dalam memelihara semangat perpaduan agar negara terus aman. Oleh itu, program yang membolehkan remaja pelbagai kaum bergaul sesama sendiri dilaksanakan agar semangat perpaduan terus mekar dan menjadi sebahagian daripada amalan hidup mereka.
Program Latihan Khidmat Negara akan membentuk disiplin dalam kalangan peserta iaitu golongan remaja. Program ini dikendalikan dalam bentuk separa ketenteraan serta menerapkan sebahagian cara hidup seorang anggota pasukan keselamatan. Disiplin yang agak ketat bakal membentuk masyarakat yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada mereka, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah bentuknya. Masyarakat yang memiliki disiplin yang baik, bakal mengurangkan masalah kerajaan dalam menangani gejala sosial, seperti penagihan dadah, gangsterisme, buli, peras ugut, dan sebagainya. Golongan remaja perlu diterapkan dengan disiplin yang baik kerana mereka sering terdedah kepada unsur-unsur atau pengaruh-pengaruh yang tidak sihat, Jadi, program berkenaan dapat membentuk remaja dengan disiplin yang utuh.
Program Latihan Khidmat Negara juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Gejala sosial berlaku apabila golongan remaja menghabiskan waktu dengan cara melepak bersama-sama rakan di tempat-tempat awam. Remaja lepasan sekolah biasanya mempunyai masa terluang yang banyak sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran atau memenuhi pasaran kerja. Oleh yang demikian, mereka memerlukan aktiviti-aktiviti yang membolehkan masa diisi dengan berfaedah sebelum mereka terjerumus ke kancah gejala sosial yang lebih parah, atau sebelum kudis menjadi tokak. Dengan adanya program ini, golongan remaja yang terpilih akan ditempatkan di kem latihan sepenuh masa selama tiga bulan. Oleh itu pergerakan mereka akan terhad di sekitar kawasan yang dikhususkan kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan keluar dan menghabiskan masa di luar tanpa tujuan. Hasilnya, gejala sosial dapat dibendung dengan jayanya jika golongan remaja menyertai program berkenaan.
Tambahan pula program ini mendedahkan golongan remaja kepada kerja-kerja yang bercorak kebajikan. Golongan remaja masa kini biasanya hidup dalam keadaan mewah dan hanya mementingkan gaya hidup yang bebas. Mereka jarang diajak untuk menabur bakti dengan melakukan kerja-kerja kebajikan. Dalam program ini model khidmat masyarakat yang melibatkan kerja-kerja kebajikan diperkenalkan supaya peserta dalam memberikan sumbangan ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Mereka dihantar untuk bekerja membersihkan kawasan perumahan, rumah-rumah kebajikan, rumah anak yatim, dan sebagainya. Dengan cara ini golongan remaja akan menjadikan kerja-kerja kebajikan sebagai sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja.
Kesimpulannya, Program Latihan Khidmat negara mendatangkan pelbagai manfaat kepada golongan remaja. Oleh itu semua pihak tidak perlu mempertikaikan kewajaran pelaksanaan program berkenaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu golongan remaja masa kini terus terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat. Remaja hari ialah pemimpin pada masa akan datang. Dengan pelaksanaan program ini, kita berharap golongan remaja hari ini akan menjadi tonggak penting dalam memenuhi keperluan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. (790 perkataan)